Wanita keliru definisi kecantikan

Cantik? Apa itu cantik? Banyak wanita mengimpi muncul sebagai wanita cantik. Begitu juga lelaki yang pada masa sama selalu menganyam mimpi memiliki wanita cantik, tercantik dan paling cantik. Sebenarnya cantik itu apa dan bagaimana ukurannya? Tidak cantik pula apa penanda arasnya?
Baiklah, kepada wanita saya ingin bertanya, “Apakah definisi cantik bagi anda? Langsing dan berkulit putih?” Dalam budaya Melayu, ada digambarkan wanita cantik itu yang memiliki muka bujur sirih, kulit putih bak telur dikupas, hidung mancung bak seludang, bibir bak delima merekah dan betis bak bunting padi.ada dalam kalangan generasi muda sekarang tidak pernah melihat daun sirih, seludang kelapa atau batang padi yang bunting tentu sukar memahami perlambangan ini. Kalau tidak pernah melihat pun tetapi rajin membaca karya persuratan Melayu mereka mungkin dapat menghayati imej yang dipinjam untuk menggambarkan kecantikan wanita Melayu.
Ukuran kecantikan ini sama dengan apa yang dipaparkan dalam dunia pengiklanan. Wanita dalam dunia iklan bukan sahaja menjadi objek seks malah dipergunakan untuk memberikan makna yang mengelirukan tentang cantik dan kecantikan. Media khususnya iklan mencipta satu garis sendiri dalam membuat justifikasi yang mana cantik dan tidak cantik.
Dalam satu kajian mengenai industri pengiklanan di Amerika Syarikat mendedahkan bahawa 95 peratus individu yang muncul dalam iklan adalah wanita. Daripada 95 peratus itu, 78 peratus pula mereka yang terdiri daripada yang bertubuh langsing dan berkulit putih.


Ulasan

Catatan Popular