Wedding Planner

Jika
ditanya kepada setiap individu, tentunya ramai yang berminat untuk
membuka butik pengantin, termasuk lah saya yang baru berjinak dalam perniagaan ini. Sudah pasti mereka yang ingin mengusahakan butik-butik ini mempunyai
objektif yang sama, iaitu ingin menampilkan pelbagai koleksi terbaik
mengikut konsep butik, yang memenuhi cita rasa semasa, mempunyai
rekaan yang terkini dan menarik untuk pelanggan mereka.
Untuk
memulakan perniagaan butik pengantin bukanlah sesuatu yang mudah dan
boleh terjadi dalam sekelip mata. Terdapat beberapa faktor yang perlu
diambil kira sebelum memulakan perniagaan, di bawah ini hanyalah
beberapa faktor penting yang akan kita bincangkan.
Pelan Perniagaan
Sediakan pelan perniagaan anda!
Pelan
perniagaan merupakan satu dokumen bertulis yang menerangkan secara
menyeluruh tentang perniagaan yang ingin anda jalankan. Dianggap sebagai
pelan induk, pelan perniagaan ini akan menerangkan kajian dan langkah
yang akan diambil untuk membangunkan perniagaan, ramalan, jangkaan dan
juga strategi perniagaan.
Pelan
perniagaan memberi gambaran keseluruhan proses perniagaan dan juga
garis panduan dalam pengurusan perniagaan. Ia juga merupakan antara
dokumen yang diperlukan untuk meyakinkan firma kewangan terhadap
idea-idea pelaksanaan perniagaan, sekiranya terdapat keperluan untuk
membuat pinjaman kewangan sebelum memulakan perniagaan.
Mendaftarkan Perniagaan Butik Pengantin Anda
Permohonan
penamaan perniagaan butik pakaian haruslah dibuat kepada Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM). Badan ini akan menyemak dan memastikan nama
yang dipilih tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana syarikat yang
sedia ada sebelum permohonan itu diluluskan.
Terdapat
dua jenis perniagaan utama yang terbuka untuk pendaftaran iaitu sama
ada perniagaan adalah hak milik mutlak / hak milik sendiri atau
perkongsian perniagaan.
Bagi
mereka yang memilih untuk mendaftar butik pakaian mereka sebagai hak
milik sendiri, maka syarikat tersebut akan dinamakan atas nama sendiri,
dan anda bertanggungjawab sepenuhnya dalam menanggung risiko yang
terdapat dalam perniagaan.
Untuk
perkongsian perniagaan, terdapat lebih daripada seorang pemilik dalam
syarikat yang memiliki perniagaan tersebut. Dengan pendaftaran lebih
daripada seorang pemilik, segala risiko dalam perniagaan dapat ditapis
dan keseluruhan risiko tidak ditanggung secara bersendirian.
Terdapat
juga pelbagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga,
Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain yang perlu dipatuhi. Pastikan
perniagaan butik pakaian anda tidak melanggar undang-undang atau
peraturan yang telah ditetapkan.
Modal
Untuk
memulakan dan menjalankan perniagaan butik anda, perlu ada modal yang
mencukupi. Modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis butik
yang ingin dibuka, lokasi, modal bahan dan jenis pakaian atau perhiasan
yang ingin dijual kepada pelanggan.
Modal
yang diperlukan untuk memulakan perniagaan mungkin daripada hasil
simpanan peribadi ataupun pinjaman yang dibuat kepada pihak bank atau
firma kewangan. Jika ingin mendapatkan pinjaman daripada pihak bank atau
firma kewangan, kebiasaannya pihak ini memerlukan pelan perniagaan atau
kertas kerja yang menceritakan secara terperinci tentang perniagaan
butik yang ingin dibuka. Pelan ini kemudiannya akan dinilai oleh pihak
bank atau firma kewangan sebelum kelulusan pinjaman dibuat.
Bagi
mereka yang baru mula hendak berjinak-jinak dan kurang pengalaman dalam
bidang perniagaan, adalah digalakkan untuk bermula pada skala yang
kecil, agar mudah untuk dibangunkan serta senang untuk diuruskan.
Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak
begitu mudah dikendalikan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai
pengalaman dalam pengurusan butik pakaian.
Jika
tidak mempunyai modal yang mencukupi, atau masih banyak komitmen atau
keutamaan yang lain, anda boleh memilih untuk mencuba perniagaan dalam
talian (online business). Tiada kos sewa premis kedai, dan
hanya bergantung pada pemasaran di internet dan perkhidmatan pos untuk
penghantaran produk kepada pelanggan. Laman web ini pula boleh
dibangunkan secara percuma jika menggunakan platform seperti BlogSpot
atau WordPress. Sebagai alternatif lain, anda juga boleh membuka satu
akaun jualan butik yang baru dalam Facebook, dan membuat pemasaran
melalui aplikasi Facebook itu sendiri.
Permintaan Pasaran / Prospek Pelanggan
Ramai
yang mempunyai minat untuk membuka perniagaan butik pakaian, malangnya
tidak pasti apakah barangan yang ingin dijual itu mempunyai permintaan
pasaran yang kuat. Membuat sedikit kajian tentang barangan dan
permintaan pasaran adalah asas sebelum memulakan perniagaan demi
memastikan barangan yang ingin dijual di butik anda dikehendaki oleh
para pengguna. Membuat kajian juga dapat mengelakkan anda daripada
mengalami kerugian kesan daripada barangan yang tidak mampu dijual atau
tidak laku.
Kajian
boleh dilakukan secara menyeluruh atau menggunakan kaedah pencarian
percuma yang terdapat di Internet, salah satunya Google Ad words. Kaedah
pencarian ini akan memberikan anda gambaran pasaran dan permintaan
produk menggunakan statistik carian pengguna di internet. Walau
bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, sudah tentu
anda boleh menggunakan khidmat firma penyelidikan profesional yang
menawarkan perkhidmatan berdasarkan kajian-kajian kepenggunaan yang
lebih bersifat komersial. Hasil kajian berkemungkinan adalah lebih
terperinci dan tepat, dan disampaikan dalam bentuk yang lebih
profesional.
Lokasi Tempat Perniagaan
Memilih
lokasi butik yang strategik dan sesuai, adalah penting bagi menjamin
keuntungan perniagaan. Perniagaan butik pengantin seharusnya dibuka di
tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.
Untuk menggalakkan jual beli, kawasan perniagaan butik pakaian
seharusnya berada di tempat tumpuan dan laluan orang ramai.
Pemilihan
lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal,
kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan
lain-lain. Antara faktor lain yang perlu dititik beratkan sebelum
memilih lokasi butik adalah seperti kepadatan penduduk dan pendapatan
isi rumah masyarakat setempat.
Sumber bekalan
Mereka
yang mempunyai perniagaan butik perlu mengetahui sumber untuk
mendapatkan bekalan produk jualan dengan seberapa murah dan mudah juga
perlu tahu tentang pembekal yang dapat menawarkan diskaun dan kredit
yang lebih baik. Bukan mudah untuk mencari pembekal yang
bertanggungjawab dan boleh dipercayai agar pesanan barang sampai ke
tangan pada masa yang sepatutnya. Proses pesanan barangan perlu difahami
dengan betul dan pengiraan keuntungan yang akan diperoleh harus
dilakukan sebelum pesanan dibuat. Barangan yang diterima daripada
pembekal hendaklah sentiasa dipantau dan diperiksa dengan teliti,
manalah tahu jika terdapat apa-apa perbezaan daripada segi warna,
kualiti fabrik dan material yang diterima berbanding dengan pada masa
pesanan dibuat.
Disebabkan
pembelian stok pakaian daripada pembekal selalunya dilakukan dalam
kuantiti yang besar, maka perlulah berhati-hati untuk mengelakkan
sebarang kes penipuan. Anda perlu pastikan syarikat pembekal, alamat dan
nombor telefon yang diberikan adalah perniagaan yang sah sebelum
pesanan dibuat kepada pembekal.
Kesetiaan Pelanggan
Terdapat
pelbagai cara untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan terhadap perniagaan
anda. Jika penjualan barangan dilakukan secara fizikal (face to face ),
maka anda perlu berikan khidmat pelanggan yang terbaik. Jika layanan
yang diterima oleh pelanggan amat memuaskan hati mereka, mereka pasti
akan kembali ke butik pakaian anda, walaupun terdapat pesaing yang
menawarkan harga yang lebih rendah. Jangan sesekali melayan pelanggan
anda dengan sikap acuh tak acuh, ingat pada frasa “Customers are always
right!”.
Kesimpulan
Beberapa
faktor yang perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan adalah
seperti yang dibincangkan iaitu persediaan pelan perniagaan, pendaftaran
perniagaan, modal permulaan perniagaan, lokasi yang bersesuaian, sumber
bekalan atau stok pakaian dan juga bagaimana untuk membina perhubungan
yang baik dengan pelanggan anda.
Untuk
nampak menarik, pelanggan ada kalanya sanggup mengeluarkan wang
semata-mata untuk tampil bergaya dengan busana ataupun pakaian yang
berkualiti dan mengikut selera mereka. Hargai pelanggan anda dengan
memberikan barangan yang berkualiti, harga yang berpatutan dan khidmat
pelanggan yang baik. Tiada apa yang lebih mengembirakan, jika kunci
kira-kira anda setiap bulan ditutup dengan keuntungan!
how do you sort out the budget for hiring a MY wedding planner?
BalasPadam