Perlukah saya ke Gymnasium?
Senaman
penting bagi mendapatkan kesihatan yang optimum, mengekalkan berat dan
mengurangkan tekanan. Melakukan senaman mempunyai banyak faedah yang
tidak dapat dinafikan. Mengadakan masa untuk menjadi sihat adalah satu
keputusan yang bijak yang tidak akan disesali di kemudian hari.
Terdapat
dua pilihan apabila anda berfikir untuk memulakan senaman. Samada anda
ingin menyertai institusi kecergasan seperti gimnasium atau kelab sukan
mahupun melakukan sendiri melalui aktiviti luar atau senaman di rumah.
Senaman
yang berterusan dikaitkan dengan pelbagai faedah kesihatan. Sedikit
aktiviti fizikal adalah lebih baik dari tiada aktiviti langsung. Bagi
faedah kesihatan yang ketara, orang ramai harus melibatkan diri
sekurang-kurangnya 150 minit dalam seminggu aktiviti aerobik
berintensiti sederhana.
Di antara faedah kesihatan jika melakukan senaman secara berterusan:
- mengawal dan membantu mengurangkan berat badan
- mengurangkan risiko penyakit jantung
- mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dan sindrom metabolik
- mengurangkan risiko sesetengah barah
- menguatkan tulang dan otot
- menyihatkan kesihatan mental
- meningkatkan keyakinan diri
- memanjangkan jangka hayat
Terdapat
lebih banyak faedah kesihatan yang tidak disebutkan di sini. Pelbagai
kajian saintifik telah membuktikannya. Aktiviti aerobik seperti jogging,
berlari dan berbasikal membuatkan anda bernafas lebih deras dan degupan
jantung meningkat. Aktiviti rintangan seperti mengangkat berat dan
menggunakan getah rintangan membuatkan otot anda semakin kuat.
Kehidupan
bahagia merupakan kehidupan yang sihat. Ramai orang berfikir melalui
penyertaan ke gimnasium boleh membantu mereka menjadi cergas dan sihat
dalam jangkamasa yang pendek. Sementara itu ada yang berfikiran mereka
yang menyertai gymnasium hanyalah mereka yang mempunyai wang dan masa
yang lebih.
Berikut merupakan contoh soalan untuk difikirkan apabila memilih gimnasium:
- Bilakah waktu operasinya?
- Berapakah yuran keahlian? Adakah terdapat pakej istimewa yang ditawarkan?
- Bagaimana dengan kitaran bayaran dan adakah anda boleh membayarnya dahulu?
- Apa yang anda perlu lakukan untuk menamatkan keahlian?
- Adakah staf mempunyai sijil yang sah dan dilatih untuk mengendalikan situasi kecemasan?
- Adakah gimnasium itu lengkap dengan peralatan yang pelbagai?
- Adakah peralatannya diselenggara dengan baik?
- Adakah mereka mempunyai saringan kesihatan sebelum memulakan senaman
- Adakah terdapat yuran tambahan?
- Adakah saiz kelas terhad?
- Adakah mereka mempunyai ujian komposisi badan?
- Peralatan manakah yang selalu digunakan?
- Sejauh mana kebersihan gimnasium itu?
Menyertai gimnasium mempunyai kelebihannya. Berikut merupakan kelebihan menyertai gimnasium:
- Fasiliti mempunyai peralatan yang lengkap dan terkini seperti treadmil, basikal statik dan mesin gim pelbagai pemberat.
- Sesetengah gimnasium mempunyai akses ke pelbagai kemudahan seperti kolam renang, studio tarian dan sauna. Ini memberi anda pelbagai aktiviti yang berlainan semasa sesi senaman bagi mengelakkan dari kebosanan.
- Menyertai gimnasium adalah lebih baik dari mempunyai peralatan di rumah anda. Peralatan bagi gimnasium terlalu mahal dan akan memerlukan kos yang tinggi.
- Di gimnasium juga merupakan tempat untuk mengenali sesama ahli yang lain, berkongsi pengalaman mengenai senaman, bersosial dan berjumpa kawan baru.
- Cuaca buruk boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan senaman di luar. Anda bernasib baik masalah ini tidak timbul jika anda menyertai gym.
- Suasana di dalam gimnasium juga mendorong anda untuk bersenam kerana ahli yang lain juga menyertainya atas satu tujuan iaitu untuk bersenam dan mengekalkan kesihatan.

Ulasan
Catat Ulasan